17 JAN : Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique mengajak orang ramai menghayati, menghargai persefahaman dan kesepakatan masyarakat majmuk dalam sambutan Thaipusam, yang diraikan penganut Hindu, esok.
Beliau berharap sambutan perayaan itu akan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, keutuhan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat jelas terbukti apabila bersama melalui pandemik COVID-19, situasi banjir dan pelbagai rintangan, termasuk masalah peribadi yang diselesaikan secara bersama.
“Justeri, dengan penuh keikhlasan saya mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada rakyat Malaysia yang meraikannya, iaitu sambutan yang penuh bermakna bagi penganut Hindu menunaikan nazar, memohon keampunan, keinsafan dan mengucapkan syukur.
“Raikan Thaipusam dengan selamat dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Selamat menyambut Thaipusam kepada semua penganut Hindu Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – BERNAMA