Kampung Batu Talam dikenakan PKPD 2 minggu
17 JAN : Kampung Batu Talam, Raub, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) selama dua minggu bermula Rabu ini.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad menerusi satu kenyataan berkata, PKPD di kampung yang terletak dalam Mukim Batu Talam itu dilaksanakan selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, setelah meneliti pembentangan KKM mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, MKN membuat keputuaan untuk melaksanakan PKPD di lokaliti terbabit.
“PKPD akan dilaksanakan bermula 19 Januari hingga 1 Februari ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Katanya lagi, prosedur operasi standard (SOP) bagi lokasi PKPD sama seperti yang diumumkan sebelum ini.