Palestin beri amaran tindakan Israel usir penduduk di Sheik Jarrah
18 JAN : Presiden Mahmoud Abbas hari ini memberi amaran kepada Israel terhadap tindakan rejim itu mengusir keluarga Palestin dari rumah mereka di Baitulmaqdis Timur.
Kata Abbas, percubaan Israel untuk mengusir keluarga Salhiya dari rumah mereka di kejiranan Sheikh Jarrah adalah dalam rangka pemindahan paksa.
“Penggunaan kekerasan Israel untuk pengusiran dan kelulusan membina beribu-ribu unit penempatan akan meningkatkan ketegangan di wilayah Palestin.
“Pemindahan itu ‘mungkin menjadi permulaan kepada proses pemindahan paksa berpuluh-puluh keluarga Palestin dari rumah mereka di Baitulmaqdis Timur,” katanya dalam satu kenyataan.
Abbas menggesa supaya masyarakat antarabangsa campur tangan segera untuk melindungi rakyat Palestin dan ‘menamatkan dasar pendudukan (Israel)’.
“Rakyat Palestin mahu Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara merdeka masa depan mereka, manakala Israel menegaskan bahawa semua Baitulmaqdis harus menjadi ibu kota abadinya.
“Sheikh Jarrah menyaksikan beberapa konfrontasi antara penunjuk perasaan Palestin dan polis Israel selepas keputusan mahkamah Israel untuk mengusir keluarga Palestin,” tegas Abbas.