17 JAN : Kementerian Kerja Raya sudah memanggil PLUS dan Touch ‘n Go bagi memastikan supaya semua isu berhubung kait dengan pelaksanaan RFID dapat diselesaikan secepat mungkin
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau mahu pengurusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go Group supaya menyelesaikan semua isu yang timbul berkaitan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dengan segera.
Katanya lagi, pelaksanaan RFID ini hanya merupakan projek rintis, maka hanya satu daripada lorong tol dipasang RFID dan yang lain masih ada SmartTag dan Touch ‘n Go.
“Walaupun transaksi tol RFID telah beroperasi, pengguna masih mempunyai pilihan untuk menggunakan lorong transaksi melalui kad Touch N Go dan juga lorong Smart Tag.
“Di peringkat kementerian kita akan terus memantau dan memastikan pihak PLUS dan Touch ‘n Go menyelesaikan apa sahaja isu yang berhubung kait dengan penggunaan Lorong RFID itu.
“Bukan sahaja RFID, malah permasalahan yang berkemungkinan timbul berhubung Smart Tag dan sebagainya perlu diselesaikan supaya apa juga aduan daripada orang ramai diambil serius,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan, hari ini.
Pihak terbabit juga katanya perlu menyelesaikan segera semua permasalahan supaya ia tidak menyusahkan, malah memberi kemudahan dan kesenangan kepada pengguna jalan raya terutama untuk mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas atau kesesakan di pondok tol di seluruh negara.
“Mengenai aduan dan rungutan orang ramai membabit RFID, kementeriannya telah meminta pihak Touch NGo dan PLUS supaya memberi penjelasan kepada orang ramai dan mencari penyelesaian terbaik terhadap apa juga isu berbangkit,” jelasnya.
Pelaksanaan transaksi tol menggunakan teknologi RFID adalah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi PLUS, dengan RFID dibekalkan oleh syarikat Touch N Go.
Ia merupakan projek rintis dengan sebelum ini RFID untuk kawasan dalam bandar sudah pun dilaksanakan, manakala mula dilaksanakan PLUS di peringkat Lebuhraya Utara-Selatan