18 JAN : Asia Aviation Plc (AAV), pemegang saham utama Thai AirAsia Co Ltd (TAA) berjaya melaksanakan langkah pengumpulan modal sebanyak 14 bilion baht (RM1.7 bilion) membabitkan terbitan bon boleh tukar dan saham-saham baharu bagi meningkatkan modal kerja serta mudah tunai syarikat penerbangan itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu turut mengumumkan pelaksanaan penyusunan semula pegangan saham menerusi tawaran hak kepada pemegang saham sedia ada membabitkan 1.7 bilion saham biasa bernilai tiga bilion baht yang dilanggan dalam tempoh lima hari sejak ditawarkan pada 10 Januari 2021.
Selain itu, ia turut meningkatkan modal berdaftar menerusi tawaran penempatan persendirian bernilai 8.8 bilion baht dan terbitan bon boleh tukar bernilai 2.2 bilion baht.
Pengerusi Eksekutif Asia Aviation Plc dan Thai AirAsia Co Ltd, Tassapon Bijleveld menyifatkan sambutan kukuh terhadap tawaran hak terbaharu meliputi 1.7 bilion saham-saham biasa bernilai tiga bilion baht sebagai menggambarkan sokongan dan keyakinan pemegang saham walaupun dalam persekitaran ekonomi semasa dan pandemik COVID-19.
Menurutnya, terbitan saham itu mendapat langganan penuh pada nisbah 5.7625 saham-saham biasa berbanding satu saham biasa pada harga 1.75 baht sesaham.
“Sambutan pemegang saham dan pelabur yang melebihi jangkaan itu jelas membuktikan keyakinan penuh mereka terhadap syarikat dan potensi jangka panjangnya,” katanya dalam kenyataan itu. –BERNAMA