19 JAN : Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif, telah dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Tabung Haji (TH) antara 2014 hingga 2020.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata selain Mohamed Raus, lima lagi ahli RCI itu ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, dan Pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain
Turut dilantik ialah bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams) yang juga Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (SC), Prof Dr Asmadi Mohamed Naim; serta Akauntan Bertauliah yang juga Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon.
“Ahli yang dilantik terdiri daripada tokoh berwibawa, mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing, iaitu kehakiman, perkhidmatan awam, pentadbiran, ekonomi, kewangan, pelaburan, pasaran modal, perbankan, kewangan Islam serta perakaunan.
“Mereka yang dilantik ini dipastikan bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan TH.
“Ini bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus, adil dan saksama, serta mengelakkan sebarang isu yang membabitkan konflik kepentingan dengan pihak berkaitan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata Wan Junaidi lagi, penubuhan RCI itu adalah selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), manakala pelantikan anggota terbabit berkuat kuasa esok hingga 19 Julai depan.
Beliau berkata, suruhanjaya itu diberi tempoh selama enam bulan untuk menjalankan siasatan dan menyediakan laporan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong
Penubuhan RCI itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.