19 JAN : Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan puak Houthi dari Yaman yang menyasarkan kawasan dan kemudahan awam di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan penduduk di kawasan itu.
Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) menerusi satu kenyataan semalam berkata, mereka yang melakukan serangan tersebut perlulah bertanggungjawab dan ia merupakan satu ancaman yang serius.
“Malaysia menzahirkan simpati dan takziah kepada mereka yang terjejas akibat serangan itu. Malaysia menolak segala bentuk keganasan yang menjejaskan keamanan dan keselamatan serantau. Permusuhan dan keganasan akan memudaratkan kestabilan dan keamanan di rantau ini. Malaysia akan terus menyokong usaha mencari jalan penyelesaian secara aman dan damai terhadap konflik di Yaman,” kata Wisma Putra dalam kenyataan tersebut.
Kumpulan pemberontak Houthi Yaman pada Isnin mengaku bertanggungjawab terhadap “operasi ketenteraan kualitatif” di UAE sebagai sebahagian daripada gabungan ketenteraan pimpinan Arab Saudi di Yaman.
Houthi mengeluarkan pengakuan itu sejurus selepas tiga lori tangki petroleum meletup dalam kebakaran berhampiran bangunan penyimpanan Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi (ADNOC) di daerah perindustrian Musaffah, ibu negara UAE, lapor agensi berita rasmi WAM, memetik pengumuman polis Abu Dhabi .