19 JAN : Pengguna lebuh raya perlu diberi pilihan sama ada mahu menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Touch N Go (TnG), atau SmartTAG untuk bayaran caj tol.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat kabinet hari ini di mana pilihan yang sama turut diberikan kepada pengguna ketika peralihan pembayaran tunai kepada TnG dan SmartTAG sebelum ini.
“Sekarang kita mahu memperkenalkan RFID untuk percepatkan laluan, tiada palang dan sebagainya. Cadangan itu bagus namun pengguna mesti diberi pilihan sama ada nak guna RFID, TnG atau SmartTAG,” katanya kepada pemberita malam ini.
Katanya lagi, lorong pembayaran menggunakan TnG dan SmartTAG perlu dikekalkan oleh syarikat konsesi bagi memberi kebebasan memilih kepada pengguna.
“Kalau ada 10 lorong, mungkin beberapa lorong untuk RFID dan bakinya masih lagi untuk TnG dan SmartTAG. Kita tidak mahu ada tekanan kepada pengguna lebuh raya,” jelasnya.
Perdana Menteri berkata, Kementerian Kerja Raya akan memanggil syarikat terbabit untuk berbincang dan dimaklumkan mengenai keputusan Jemaah Menteri itu selain keputusan membabitkan bayaran perlu dirujuk kepada Kabinet.
Pelaksanaan RFID yang dimulakan secara berperingkat di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) pada 15 Januari lalu, mengundang kemarahan pengguna lebuh raya terbabit apabila mereka terpaksa berdepan kesesakan teruk di Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Bandar Seri Putra kerana kegagalan sistem berkenaan.