18 JAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada semua yang menyampaikan ucapan dan doa bersempena sambutan ulang tahun kelahiran beliau yang ke-62, semalam.
“Terima kasih juga kepada semua yang memberi ucapan, doa dan sebagainya. Saya sangat menghargainya,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, malam tadi.
Dalam hantaran itu, Ismail Sabri juga mengimbau kenangan ketika kecil bahawa beliau jarang menyambut ulang tahun kelahirannya, namun apabila sudah ada anak, setiap tahun beliau akan meraikan hari jadi anak-anaknya.
Katanya, biarpun sibuk dibelenggu tugas, beliau akan tetap memberi ruang dan masa untuk isteri dan anak-anak, sehinggalah ke hari ini.
“Apabila saya sudah semakin tua, anak sudah semakin besar, mereka pula yang sentiasa tidak sabar ‘celebrate birthday’ (meraikan ulang tahun kelahiran) saya dan isteri.
“Alhamdulillah sebagai ‘parents’ (ibu bapa), saya berasa sangat dihargai,” katanya.