20 JAN: Pihak kerajaan perlu berfikir di luar kotak untuk merancang dan melaksanakan langkah yang sesuai bagi membantu mangsa-mangsa banjir baru-baru ini.
Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, kerajaan kena memikirkan bagaimana mangsa banjir dapat bangkit semula selepas musibah yang bukan sahaja mengorbankan nyawa malah harta benda turut musnah.
Kata Ahli Parlimen Pasir Salak itu, selain bantuan makanan, peralatan rumah serta baik pulih kediaman dan pelbagai lagi yang diumum, kerajaan kena melihat keperluan untuk jangka panjang mereka.
“Bantuan makanan dan sebagainya memang bagus tetapi untuk jangka masa panjang keperluan lain masih banyak seperti perancangan ekonomi, pelajaran anak-anak dan sebagainya,” ujar Tajuddin.
Beliau berkata demikian ketika berbahas dalam sidang khas isu banjir di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, beliau meminta mana-mana pihak jangan menunding jari berhubung memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.
Sambil berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau berkata semua pihak boleh menyumbang tenaga dan memberikan khidmat yang terbaik kepada masa depan negara dalam mendepani bencana banjir.
“Kalau menteri sibuk, bagilah timbalan buat kerja. Perdana Menteri atau menteri boleh turunlah kuasa kepada timbalan. Kami juga boleh bantu, jika diajak,” katanya lagi.
Tajuddin turut mengingatkan pegawai-pegawai kerajaan supaya bertanggungjawab ketika bencana bukan bercuti serentak ketika musim banjir.
“Kalau pegawai atasan seperti KSU ( Ketua Setiausaha), ketua jabatan tak ada, jentera kerajaan pun boleh sangkut,” ujarnya.