20 JAN: Majlis Pengurusan Bencana Negara (NADMA) perlu diperkukuhkan bagi menjamin aspek kecekapan pengurusan bencana yang diperluaskan ke peringkat negeri dan daerah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata gesaan berhubung perkara itu turut diputuskan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Disember, tahun lalu.
Sehubungan itu, katanya, struktur sedia ada NADMA akan diteliti semula untuk memperkukuh peranannya sebagai peneraju pengurusan bencana negara dan ia sedang dalam tindakan bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Antara perkara yang diteliti adalah penubuhan NADMA di peringkat negeri dan daerah.
“Ini bagi memastikan kita betul-betul dapat menggarap kepentingan bahawa pengurusan bencana bukan saja di peringkat pusat, tetapi meliputi peringkat negeri dan daerah,” katanya pada sidang khas Parlimen, hari ini.
NADMA juga, katanya sedang dalam proses menggubal Rang Undang-Undang Pengurusan Bencana yang bersifat omnibus antara lain meliputi aspek tadbir urus, penguatkuasaan, kesiapsiagaan, DRR, tindak balas, pemulihan dan pembangunan semula.
Bagi hala tuju pengurusan bencana, Abdul Latiff berkata kesedaran awam terhadap kepentingan dan tanggungjawab pengurusan bencana bermula dari peringkat masyarakat perlu diterap dan dipupuk.
Menurutnya, di peringkat sekolah perlu mengkaji semula kurikulum dan ko-kurikulum supaya kependidikan dan kesedaran terhadap bencana diterapkan.
“Bagi memastikan kesiapsiagaan tindak balas terhadap bencana, latih amal dan simulasi hendaklah diadakan dari semasa ke semasa oleh setiap peringkat jawatankuasa pengurusan bencana melibatkan agensi-agensi tindak balas bencana,” katanya.”