20 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menjelaskan persediaan awal dan tindakan yang telah diambil susulan bencana banjir dan tanah runtuh telah berlaku di beberapa buah negeri iaitu negeri Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Johor baru-baru ini.
Menurutnya, pada 1 November lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengumumkan bahawa Monsun Timur Laut (MTL) di Malaysia akan bermula dari 3 November 2021 hingga Mac 2022.
MET Malaysia, katanya menjangkakan sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat berterusan akan berlaku dalam tempoh tersebut.
“Di kesempatan ini, saya ingin menjelaskan sekali lagi bahawa persediaan menghadapi MTL 2021/2022 adalah berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.
“Berdasarkan Arahan ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pada setiap tahun akan merancang persediaan menghadapi musim MTL.
“Pada kali ini, saya sendiri telah mempengerusikan Mesyuarat JPBP pada 13 September 2021 yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) serta wakil-wakil agensi persekutuan dan juga negeri. Agenda utama mesyuarat ini adalah pembentangan mengenai kesiapsiagaan bagi menghadapi MTL 2021/2022,” katanya pada Sidang Khas Dewan Rakyat di ibu negara hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan juga bersetuju supaya peruntukan sebanyak RM9.5 juta daripada tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) disediakan bagi kesiapsiagaan operasi MTL 2021/2022.
Tambahnya, lanjutan daripada mesyuarat , pada 5 Oktober 2021, NADMA telah mengaturkan sesi libat urus Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap pengurusan bencana negara bersama semua Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi JPBN.
Katanya, sesi tersebut menekankan kepada keperluan kesiapsiagaan semua jentera pengurusan bencana di setiap peringkat untuk menghadapi MTL 2021/2022.
“MET Malaysia telah pun mengeluarkan amaran hujan berterusan bagi Kategori Merah iaitu kategori Bahaya pada Sabtu, 18 Disember 2021, susulan hujan lebat berterusan di kebanyakan wilayah di Semenanjung Malaysia.
“Angin MTL yang sepatutnya bertiup ke Laut Andaman telah melalui Selat Melaka ekoran sistem tekanan rendah di perairan tersebut. Keadaan ini telah mencetuskan hujan lebat yang luar biasa terutamanya di negeri Selangor.
“MET Malaysia telah mengeluarkan sebanyak enam kali amaran cuaca signifikan yang boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan. Namun, amaran cuaca ini tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana kerana andaiannya hanya negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang akan terjejas akibat banjir yang dibawa oleh hujan lebat berterusan akibat luruan monsun,” jelasnya.