21 JAN : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi tumpuan dalam memastikan penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi dan berkualiti yang menjadi salah satu daripada enam fokus Malaysia Berdaya Huni.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Naina Merican berkata, penyediaan rumah mampu milik merupakan teras utama yang menjadi keutamaan kementeriannya.
Katanya, KPKT mempunyai misi menyediakan 500,000 unit rumah yang perlu dilunaskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Jumlah ini bukanlah kecil tetapi kita perlu ada strategi untuk memastikan ia dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Amanat Tahun Baharu dan Pelancaran Rangka Kerja Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan di kementeriannya, pada Jumaat.
Menurutnya lagi, mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diaktifkan semula dan mesyuarat pertama akan diadakan pada 31 Januari ini.
Reezal berkata, PR1MA dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan terus menjadi tunjang KPKT dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk kumpulan B40 dan M40.