21 JAN: PAS berhasrat untuk berbincang dengan UMNO bagi membentuk kerjasama sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bagaimanapun berpandangan PRN tidak sepatutnya diadakan dalam waktu terdekat kerana negara baru sahaja berhadapan banjir besar dan rakyat kini dalam kesusahan.
“Kita kena lihat dulu sama ada PRN ini jadi atau tidak. Kita akan adakan perbincangan dengan UMNO…komitmen kita sebenarnya dengan UMNO dan dengan parti lain masih berjalan. Kita harap mampu adakan kerjasama dengan baik.
“Masing-masing bersedia, PAS juga bersedia sebab Johor ini kita sudah biasa masuk bertanding tetapi perbincangan kerjasama kita akan teruskan,” katanya dalam satu majlis di Shah Alam, hari ini.
Menurutnya, jika boleh PRN ini berjalan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) kerana kini sudah ada dua negeri yang berbeza pilihan rayanya dengan Persekutuan.
“Saya fikir semua orang mahu kita kurangkan main politik sebab rakyat susah tapi terpulang kepada kerajaan Johor, kalau terbubar kita terpaksa hadapi pilihan raya.
“Sekarang ini, kita sudah ada Sarawak dan Melaka yang mengadakan pilihan raya berasingan dan jika boleh kita tidak mahu banyak sangat pilihan raya yang berbeza tarikh.
“Akhirnya, rakyat akan berada dalam situasi berpolitik sepanjang waktu…kalau ada PRN seperti di Sarawak jentera akan turun…jadi saya fikir kita kena kurangkan politik.
Ditanya mengenai masa depan Muafakat Nasional (MN), Tuan Ibrahim berkata gagasan politik yang terbina antara PAS dan UMNO itu masih berjalan seperti biasa.
Media melaporkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memberi bayangan PRN Johor bakal diadakan dalam masa terdekat.
Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor memberi jaminan PRN tidak akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri jika dilaksanakan tidak lama lagi.