UMNO akur keputusan Sultan Johor berhubung soal PRN
21 JAN : UMNO tidak sekali-kali akan membelakangkan Perlembagaan Johor dan keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam soal pembubaran DUN.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akur dengan apa juga keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berhubung PRN selepas wujud desas-desus kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri bakal diadakan dalam tempoh terdekat.
“Dalam soal ini, kita tidak boleh mendahului kuasa Perlembagaan Johor. Titah dan perkenan Sultan Johor adalah muktamad sama ada baginda bersetuju atau sebaliknya selepas mendengar nasihat daripada Ketua Eksekutif iaitu Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
“Sebagai parti komponen kerajaan Johor, apa saja keputusan dan perkenan Tuanku, kita akan ikuti, termasuk juga proses politik digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.
Beliau berkata demikian di dalam program bicara NR disiarkan secara langsung menerusi Facebook malam ini.
Hasni sebelum ini dilaporkan akan menghadap Sultan Ibrahim Iskandar, minggu hadapan bagi memohon perkenan pembubaran DUN Johor,
Beliau juga dijadual mengadakan sidang media khas esok selepas mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO negeri, dipercayai menyentuh soal pembubaran DUN.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, PRN Johor mungkin tidak dapat dielakkan susulan kerajaan ketika ini hanya memiliki kelebihan satu kerusi DUN iaitu 28 kerusi manakala pembangkang 27 kerusi.
Hasni menurut Ahmad Zahid, mempunyai pertimbangan sendiri termasuk mengadakan perbincangan bersama BN dan Badan Perhubungan UMNO negeri berhubung kedudukan DUN itu.
“UMNO Johor memberikan data dan sains dan Menteri Besar Johor sudah memberi penjelasan dan penerangan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengenai situasi di Johor.
“Maka kita dengar teliti (penjelasan). Walaupun begitu, keputusan akhir tertakluk kepada perkenan Sultan Johor,” ujarnya.
Kata Ahmad Zahid, UMNO akan menggunakan acuan strategi PRN Melaka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) khususnya mengetengahkan calon muda dan berusia bawah 50 tahun.
“UMNO juga mengamalkan pendekatan ‘WALI’ dalam memilih calon iaitu mereka yang boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likable).
“Apa yang berlaku di Melaka, saya menetapkan acuan melalui tiga kategori iaitu muka baharu, berkelulusan tertier atau sekurang-kurangnya diploma atau ijazah serta berusia 50 tahun ke bawah mesti melebihi 80 peratus.
“Politik sangat dinamik dan perlu dilihat bukan hanya berpegang kepada prinsip statik atau jumud, mungkin disesuaikan mengikut negeri, kawasan Parlimen atau DUN.
“UMNO sangat fleksibel namun matlamat dan asas adalah kemenangan mesti memihak kepada parti, melalui usaha dilakukan sama ada secara taktikal atau strategik,” katanya.