22 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan sebanyak 4,116 lagi kes jangkitan baharu COVID-19 menjadikan angka keseluruhan jangkitan itu meningkat kepada 2,829,089 kes.
Dengan angka terbaharu itu, angka jangkitan COVID-19 di negara ini melepasi jumlah 4,000 kes bagi tempoh dua hari berturut-turut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 498 kes import direkodkan terdiri 406 warganegara dan 92 warga asing.
“Manakala kes sembuh pula mencatatkan sebanyak 2,858 kes dan 141 kes ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 62 kes pula memerlukan bantuan pernafasan. Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengesan sembilan kluster baharu, sekali gus menjadikan jumlah kluster yang masih aktif ketika ini sebanyak 225.
“Daripada 4,116 kes dilaporkan hari ini, sebanyak 4,077 atau 99.1 peratus adalah pesakit kategori satu dan dua. Hanya 39 kes atau 0.9 peratus adalah daripada pesakit kategori tiga, empat dan lima,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.