22 JAN : Kerajaan Indonesia menafikan laporan media Israel berhubung pegawai kesihatan dari dua negara berkenaan mengadakan pertemuan di Tel Aviv dan menegaskan bahawa pendirian Indonesia dalam isu Palestin kekal tidak berubah.
Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah menjelaskan bahawa tiada sebarang hubungan rasmi antara dua negara tersebut kerana Indonesia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.
“Sila bezakan perkara yang bersifat rasmi, hubungan perniagaan atau rakyat dengan rakyat yang berada di luar bidang kuasa kerajaan,” tegasnya.
Arab News, Israel Army Radio Isnin lalu melaporkan delegasi pegawai kesihatan Indonesia melawat Tel Aviv bagi membincangkan strategi berkaitan pandemik Covid-19, namun lokasi dan tarikh mesyuarat tersebut tidak dinyatakan secara spesifik.
Tahun lalu, Duta Israel ke Singapura memaklumkan Tel Aviv akan bersedia mewujudkan hubungan dengan negara majoriti Islam di Asia Tenggara seperti Indonesia, Malaysia dan Brunei.
Langkah itu susulan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan, dan Maghribi bersetuju menormalisasikan hubungan dengan Israel di bawah Perjanjian Abraham yang diuruskan oleh AS.