22 JAN : Usaha pemberian vaksin kepada kanak-kanak (PICK Kids) berusia antara lima hingga 11 tahun yang dijadual bermula awal Februari ini adalah bertujuan untuk melindungi golongan ini berikutan rakyat khususnya ibu bapa sudah bergerak bebas, merentasi sempadan negeri dan pergi bercuti, sedangkan anak-anak belum divaksin.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali meminta rakyat khususnya ibu bapa supaya tidak bimbang terhadap program pemberian vaksin kanak-kanak yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu.
Walaupun kanak-kanak dikatakan berisiko rendah mengalami jangkitan COVID-19, namun menurut Dr Noor Azmi ada di antara mereka mempunyai gejala teruk dan dimasukkan ke hospital serta dibimbangi berlaku kematian.
Katanya, kerajaan bimbang jika program ini tidak dilaksanakan, akan berlaku peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak.
“Bagi program ini KKM mensasarkan 4.1 juta kanak-kanak untuk menerima vaksin bagi melindungi mereka daripada COVID-19. Berdasarkan data dari Januari 2020 hingga kini, seramai 579,000 remaja dan kanak-kanak dijangkiti COVID-19 yang mana 299,000 daripadanya berusia antara lima hingga 11 tahun.
“Dari jumlah itu, seramai 144 remaja di bawah usia 18 tahun dilaporkan meninggal dunia, dengan 33 daripadanya berusia antara lima hingga 11 tahun,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jualan Keluarga Malaysia, Peringkat Negeri Perak, Parlimen Bagan Serai, di Tapak Pasar Tani, Pusat Bandar, hari ini.
Kelmarin media melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun bermula Februari ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, keutamaan diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka lebih berisiko untuk dijangkiti Covid-19.