22 JAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilihat tiba di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 5.33 petang tadi untuk menziarahi Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini sedang dirawat di Unit Rawatan Koronari pusat rawatan tersebut.
Ismail Sabri yang menaiki kenderaan Toyota Vellfire memasuki pekarangan dengan kawalan ketat pihak polis dan pengurusan IJN.
Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat Dr Mahathir di IJN, sebelum beredar dari institusi perubatan itu.
Sementara itu, Perdana Menteri melalui ciapan di Twitter miliknya sebentar tadi mendoakan supaya keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad kekal tabah berhadapan dengan ujian ketika ini.
Katanya, beliau sempat bertemu dengan isteri Ahli Parlimen Langkawi itu, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ketika menziarahi Dr Mahathir di IJN sebentar tadi.
“Saya turut bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di IJN tadi dan berharap keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad terus tabah,” katanya lagi.
Pihak media juga masih dilarang untuk berada di pekarangan kawasan masuk ke ruangan yang menuju ke bilik rawatan Tun Mahathir.
Terdahulu, pejabat Tun Mahathir mengesahkan Ahli Parlimen Langkawi itu dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU), IJN, namun sehingga kini status kesihatannya masih belum dapat disahkan.