22 JAN : PAS belum menetapkan sama ada mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN) atau bertanding secara sendirian di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan tidak lama lagi.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS bagaimanapun sedia berunding untuk bekerjasama dengan parti lain termasuk UMNO menerusi MN.
Kata Takiyuddin, PAS sebuah parti yang mengutamakan penyatuan ummah dan konsep itu turut diterapkan dalam PRN Melaka baru-baru ini namun keputusannya tidak seperti diharapkan.
“Secara asasnya, PAS ingin bekerjasama dengan semua, sama ada UMNO atau BERSATU kerana kita utamakan penyatuan ummah, sebab itu kita bersedia berunding serta berbincang. Dalam PRN Melaka pun kita adakan perbincangan dengan UMNO tapi akhirnya yang berlaku adalah sebagaimana yang berlaku (bertanding atas tiket PN). Ada beberapa perkara menyebabkan kita membuat keputusan itu.
“Kita berunding perkara yang terbaik kerana bagi PAS, pilihan raya adalah proses memilih kepemimpinan sama ada di peringkat negara atau negeri, maka sudah tentu kita mahu hasil terbaik kerana ketidakstabilan politik menyebabkan kesan buruk kepada rakyat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sagu hati kepada 10 penghulu tanpa mukim kaum Tionghua yang akan menyambut Tahun Baharu Cina di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, hari ini.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) sekali gus memberi laluan kepada PRN diadakan.
Takiyuddin turut menegaskan bahawa PAS akan tetap bertanding dalam mana-mana pilihan raya termasuk PRN Johor namun belum menentukan jumlah kerusi akan ditandingi.