23 JAN: Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Abu Bakar Yahya meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan berita tidak sahih mengenai keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu sebaliknya mendoakan kesihatan beliau.
Katanya, orang ramai perlu menunggu maklumat perkembangan terkini daripada pihak yang sewajarnya terutamanya Institut Jantung Negara (IJN).
“Saya tidak dapat ulas perkembangan Dr Mahathir (hari ini), disebabkan tidak berada di sana (IJN).
“Sebagaimana saya tegaskan, jangan dengar cerita yang bukan-bukan, sebelum ini pun IJN sudah mengeluarkan kenyataan,” lapor Berita Harian hari ini.
Dr Mahathir dimasukkan ke IJN semalam dan sejak itu Abu Bakar menerima banyak panggilan daripada orang ramai untuk mengetahui keadaan semasa kesihatan beliau.
“Saya ingin jelaskan kepada semua, jangan terpengaruh dengan berita yang tidak sah. Yang penting doakan kesihatan beliau bertambah baik. Terima kasih semua,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa dalam satu hantaran di Twitter, hari ini turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih mengenai keadaan bekas Perdana Menteri itu.
“Dipohon orang ramai tidak menyebarkan apa apa berita mengenai keadaan Tun M, kecuali datang dari keluarga atau hospital secara rasmi.
“Hormati situasi keluarga Tun saat ini,” katanya.
Petang semalam, anak sulung Dr Mahathir, Datin Paduka Marina memaklumkan keadaan bapanya stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan pada 8 Januari lalu.