23 JAN: Agihan bantuan kepada mangsa banjir di negara ini berlaku kelewatan susulan terpaksa berdepan beberapa situasi seperti perlu mendapat pengesahan daripada ketua kampung atau ketua komuniti
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) hampir 100 peratus bantuan selesai dan bakinya akan diselesaikan segera.
“Cuma untuk beberapa jenis bantuan lain termasuk mereka yang tidak berpindah perlu mendapatkan pengesahan daripada ketua komuniti atau ketua kampung masing-masing
“Ketua Kampung atau pemimpin setempat perlu memainkan peranan mereka untuk perkara tersebut,” katanya dalam ucapan sempena lawatan Ziarah Prihatin Mangsa Banjir di pekarangan Masjid Kampung Guai, Bera hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyerahkan sumbangan seperti toto, dapur masak, serta kit bantuan banjir yang berisi tuala serta makanan.
Sebanyak RM500,000 turut diperuntukkan untuk membina dewan serba guna di Kampung Guai.
“Dewan ini harus dibina di tempat lebih tinggi bagi mengelak ia terjejas akibat banjir dan boleh dijadikan PPS.
“Kerajaan melalui Jawatankuasa Khas sedang merangka strategi bagi menangani banjir agar bencana ini tidak berulang dan merosakkan harta benda sehingga menyebabkan kerugian yang besar,” katanya.