23 JAN: MCA Johor bersiap siaga dan bertekad bekerja keras bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata tekad MCA untuk bekerja kuat adalah untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang parti itu tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“MCA Johor bersiap siaga menghadapi PRN Johor ini dan bertekad untuk bekerja kuat merampas kerusi DUN yang kita tewas pada PRU-14 lalu.
“MCA akan terus membela nasib rakyat dan menunjukkan kepada pengundi bahawa hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu mentadbir Johor dengan lebih baik,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MCA Johor di Pejabat MCA Negeri Johor, Johor Bahru hari ini.
Dalam mesyuarat itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon juga memberi taklimat persediaan jentera PRN Negeri Johor.
Semalam Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk membubarkan DUN Johor, sekali gus membuka laluan untuk PRN diadakan.
PRN Johor sebelum ini menjadi bualan hangat berikutan kematian Ahli DUN Kempas Datuk Osman Sapian bulan lepas menjadikan kerajaan pimpinan UMNO itu hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.