23 JAN: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Johor akan bertanding secara sendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Ketua PEJUANG Johor, Datuk Dr Saharuddin Mohd Salleh, berkata parti itu akan meletakkan hanya 42 calon berbanding 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“PEJUANG sudah mengumumkan tidak menyokong mana-mana pihak dan bertanding sendirian. Kita akan memuktamadkan semua nama calon ini ke jawatankuasa pusat parti dalam tempoh terdekat.
“Calon yang dipilih adalah dalam kalangan belia, wanita, profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bekas pegawai kerajaan dan ahli perniagaan.
“Keutamaan lokasi meletakkan calon PEJUANG dinilai berdasarkan majoriti penduduk Melayu di kawasan masing-masing,” katanya selepas program perasmian Pejabat Sekretariat PEJUANG di Segamat Baru, Segamat, hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya terbuka jika mana-mana parti mahu bekerjasama dengan PEJUANG pada PRN negeri.