23 JAN: PAS berharap masih ada peluang untuk parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin, berkata perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.
“Buat masa ini, kita sedang berusaha ke arah itu (penyatuan MN). PAS Johor sudah berhubung dengan pihak UMNO Johor dan telah mendapat maklum balas baik untuk bertemu Menteri Besar.
“Insya-Allah, satu perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat hasil hubungan baik di antara kedua-dua parti.
“PAS pusat juga sudah memberikan lampu hijau buat PAS Johor supaya menjayakan usaha penyatuan MN itu. Harapnya kita dapat mencapai persefahaman bagi tujuan berkenaan,” katanya hari ini.
Pada PRN Melaka baru-baru ini, PAS memutuskan untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN).
Namun PAS tewas semua lapan kerusi yang ditandinginya.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, PAS Johor sudah bersedia menghadapi PRN di negeri ini selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, memperkenan pembubaran DUN Johor, semalam.
“Pembahagian kerusi juga akan dibincangkan bersama kepimpinam pusat, selain dalam pertemuan bersama Hasni sedikit masa lagi.
“Sedikit atau banyak kerusi yang akan ditandingi, ia hanya dibincangkan pada peringkat dalaman sahaja. Masih belum dimuktamadkan lagi,” katanya.