23 JAN: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat hari ini mengumumkan Warta Kerajaan berhubung pembubaran DUN Johor berkuat kuasa semalam.
Suhaizan berkata, watikah itu diserahkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bagi mengambil tindakan susulan pembubaran DUN Johor.
Warta itu memaklumkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempunyai peruntukkan untuk membubarkan DUN Johor yang ke-14 mengikut Fasal 23 Bahagian Kedua, Undang-undang Tubuh Kerajaan 1895.
“Satu pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN bagi membolehkan kerajaan negeri dibentuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan watikah pembubaran DUN Johor, di pejabatnya di Bangunan DUN Johor, hari ini.
Terdahulu, Suhaizan turut menyerahkan Warta Pemasyhuran Pembubaran DUN Johor kepada Pengarah SPR Johor, Nor Nekman Jaimon di Pejabat Speaker di sini.
Semalam, Sultan Ibrahim dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.
Sebelum itu, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, menghadap Sultan Johor bagi memaklum sembah hasrat kerajaan negeri mengadakan PRN, di Istana Bukit Serene, di sini, pada jam 5 petang Sabtu.
Dalam pada itu, Suhaizan ketika diminta mengulas mengenai kedudukannya sebagai Speaker, beliau menjalankan tugas tersebut masih digalas sehingga kerajaan negeri baharu dibentuk dan pelantikan Speaker DUN dibuat.
“Saya masih lagi Speaker DUN Johor sehingggalah kerajaan negeri baharu dibentuk dan Speakar baharu dilantik,” katanya selepas menyerahkan pemasyhuran Warta Kerajaan berhubung pembubaran DUN Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, Nor Nekman Jaiman berkata pihaknya akan merujuk ibu pejabatnya sebelum membuat persediaan termasuk mesyuarat khas bagi membincangkan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Setakat ini kita masih belum ada tarikh bila mesyuarat urusan PRN Johor ke-15 akan diadakan.
“SPR Johor akan merujuk ibu pejabat dahulu termasuk memaklumkan penerimaan Warta Pemasyhuran Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang diterima daripada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat.
“Mesyuarat membincangkan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang ke-15, terpulang kepada ibu pejabat bagi menentukan tarikhnya. Pengumuman akan dibuat nanti,” katanya.