23 JAN: Timbalan Ketua MIC Bahagian Tapah, D Sivabalan maut apabila PROTON Iswara yang dipandunya terbabit nahas dengan sebuah kenderaan lain sebelum terbabas ke dalam parit di Kilometer 53 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, tengah malam tadi.
Sivabalan, 50, beralamat di Jalan Stesen, Tapah yang mengalami cedera parah dalam insiden kira-kira jam 12.45 tengah malam itu, disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata kemalangan membabitkan kereta dipandu mangsa dan sebuah PROTON Exora dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun dalam perjalanan menghala Kuala Lumpur.
Hasil siasatan awal, katanya, PROTON Exora berkenaan dipercayai dilanggar kereta dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan pada bahagian kanan belakang.
“Kereta dipandu mangsa kemudian terbabas ke dalam parit di sebelah kanan jalan menuju arah Kuala Lumpur, namun pemandu PROTON Exora tidak cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.