23 JAN: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan esok, sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan atau perlu membela diri terhadap tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Pada 6 Disember lalu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan hari esok untuk membuat keputusan pada akhir kes pendakwaan selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan dan peguam, Hisyam Teh Poh Teik serta Hamidi Mohd Noh yang mewakili tertuduh.
Tarikh keputusan itu ditetapkan selepas Mahkamah Tinggi selesai mendengar hujahan yang berlangsung selama 24 hari bermula 6 September tahun lalu membabitkan keterangan 99 saksi.
Antara saksi dipanggil memberikan keterangan ialah bekas Pegawai Khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar; bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly: pengurup wang, Omar Ali Abdullah dan rakan kongsi firma guaman Lewis & Co, B Muralidharan.
Ia melibatkan 12 pertuduhan jenayah pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram. Zahid mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan cukai jalan kenderaan, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016. Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.
Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B)r Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta SPRM 2009) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.