24 JAN: Sekurang-kurangnya 136 terkorban dalam serangan di sebuah penjara di timur laut Syria, Khamis lalu.
Lebih 100 pengganas Daesh menyerang penjara Ghwayran yang dikawal puak Kurd di bandar Hasakeh bagi membebaskan rakan mereka sejak kumpulan itu mengisytiharkan kejatuhan ‘khalifah Daesh’ di Syria hampir tiga tahun lalu.
Dalam pertempuran dengan tentera Kurdish itu menyaksikan kumpulan militan itu membebaskan tahanan dan merampas senjata yang disimpan.
Kata pemerhati, sekurang-kurangnya 84 anggota Daesh dan 45 pejuang Kurdish, termasuk pasukan keselamatan dalaman, pengawal penjara dan pasukan antikeganasan, terbunuh dan insiden itu.
Tujuh orang awam turut terkorban dalam pertempuran terbesar di bandar dekat timur laut Syria, iaitu wilayah separa autonomi dikawal pihak berkuasa Kurdish.
Dibantu serangan udara pakatan diketuai Amerika Syarikat (AS) semalam, Pasukan Demokratik Syria (SDF) dipimpin puak Kurdish berkata, mereka menutup kawasan sekitar penjara dan ‘pejuang Daesh tidak boleh melarikan diri lagi’.
Pakatan itu berkata, SDF Berjaya mengawal ancaman itu, sementara kumpulan pemerhati melaporkan situasi semasa pertempuran itu mulai reda.
Walaupun serangan makin berkurangan pada lewat malam tadi, kebimbangan terus memuncak mengenai nasib ratusan kanak-kanak di dalam penjara berkenaan terutama ketika kumpulan pengganas masih berada di situ.
Sehubungan itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa perlindungan diberikan kepada 850 orang kanak-kanak bawah umur yang ditahan di penjara berkenaan. – AFP