24 JAN: Malaysia memerlukan hampir 100,000 pekerja profesional, mahir dan separa mahir susulan pertumbuhan pesat industri rel pada masa akan datang.
Justeru, Kementerian Pengangkutan (MOT) mempunyai visi untuk melihat industri rel di Malaysia menjadi sektor perniagaan yang kukuh dan mampan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ia sekali gus berupaya memenuhi permintaan pengangkutan rel nasional dan pemain global yang berdaya saing bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dan teknologi tempatan.
“Kerajaan melalui MOT akan terus memberikan sokongan dan panduan kepada pemain-pemain industri tempatan yang ingin berusaha menambah kepakaran, penambahbaikan fasiliti dan kapasiti mereka.
“MOT mengharapkan ianya akan dapat membantu meningkatkan keupayaan dan kebolehpasaran seterusnya meningkatkan peratusan kandungan tempatan sekurang-kurangnya 45 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian dialog berkaitan industri rel di Malaysia, anjuran Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE) hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha MOT, Datuk Isham Ishak; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOT, Normah Osman; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOT, Datuk Razali Mohamad dan Dekan UNIKL, MIDI dan ASIA Rail, Prof Madya Azman Senin.
Dialog yang julung kali diadakan itu disertai oleh lebih 200 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian, agensi-agensi kerajaan, ahli akademia dan para pemain industri rel pelbagai bidang seluruh Malaysia.
Menurut Ka Siong, penganjuran MARID 2022 itu membincangkan isu-isu dan jurang dalam industri rel tempatan untuk merancang inisiatif-inisiatif pembangunan serta menetapkan hala tuju industri rel tempatan.
Selain itu, katanya, turut dibincangkan penambahbaikan dan memperkasakan pelan polisi di Malaysia bagi perolehan yang akan datang untuk kemampanan perniagaan syarikat-syarikat tempatan
“Merangka pelan hala tuju industri rel melalui Malaysia Railway Masterplan 2050; dan melaksanakan program pembangunan kepada para pemain industri rel tempatan agar lebih mampan dan berdaya saing sehingga ke peringkat global.
“Ketika ini, tujuh projek pembinaan telah diluluskan Kerajaan melibatkan penambahan lebih kurang 1,030 kilometer trek rel.
“Dalam masa sama, keperluan rolling stock untuk penumpang dan kargo juga akan bertambah seiring peningkatan permintaan bagi mod pengangkutan berasaskan rel,” katanya.