24 JAN : Dua peluru berpandu balistik yang ditembak pemberontak Houthi Yaman berjaya dipintas Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini.
Menurut Kementerian Pertahanannya, serpihan peluru berpandu yang jatuh di sekitar Abu Dhabi tetapi tidak mengakibatkan kecederaan.
“Serangan itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan, manakala sisa peluru berpandu balistik yang dipintas dan musnah jatuh di kawasan berasingan di sekitar.
“Kita bersedia menangani sebarang ancaman dan mengambil semua langkah perlu untuk melindungi negara daripada semua serangan,” kata kementerian itu.
Houthi mengaku melancarkan serangan itu apabila jurucakapnya Mohammed Abulsalam berkata beliau akan mendedahkan butiran ‘operasi ketenteraan’ di UAE dan Arab Saudi.
Pemberontak Houthi melancarkan serangan ke UAE pada minggu lalu menyebabkan tiga penduduk maut dan kerajaan menyifatkannya sebagai satu kejutan.
Susulan itu, beberapa siri serangan udara dilancarkan terhadap Yaman, yang mana UAE adalah sebahagian daripada pakatan tentera diketuai Arab Saudi memerangi pemberontak disokong Iran.
Seramai 14 orang maut dalam serbuan udara di ibu negara, Sanaa dan sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak terbunuh dalam serangan ke atas Hodeida yang memusnahkan internet negara yang sedang bergelut itu.
Perang saudara di Yaman bermula pada tahun 2014 apabila Houthi merampas Sanaa, mendorong tentera pimpinan Arab Saudi campur tangan untuk menyokong kerajaan Yaman bebas daripada pemberontak.