25 JAN : Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PN akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Beliau berkata, setakat ini, itulah pendirian PN hasil perbincangan dengan rakan dalam parti gabungan termasuk PAS dan GERAKAN.
“Kalau setakat hari ini begitulah keputusannya iaitu bertanding di semua kerusi DUN Johor. Kita belum berjumpa PN secara semua tapi pandangan pimpinan parti gabungan begitulah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU di Shah Alam malam ini.
PAS juga setakat ini menurut Muhyiddin tetap kekal bersama PN dalam mendepani PRN Johor nanti.
Ketika menjawab cadangan akar umbi BERSATU supaya PN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Barisan Nasional (BN), Muhyiddin menjelaskan bahawa itu hanya sekadar pandangan saja.
“Itu hanya dakwaan mereka. Saya tegaskan, kita belum ada mesyuarat apa-apa setakat ini. Pendirian kita hanya PN saja, kalau ada pihak tertentu katakan sesuatu, itu pendirian mereka. Kita setakat hari ini PN,” jelasnya.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, PN sedia untuk menerima pandangan pelbagai pihak mengenai konsep kerjasama politik membabitkan gabungan parti lain sama ada membabitkan PH atau BN dalam PRN kelak.
PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Sabtu lalu berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.