25 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan sekatan terhadap pergerakan rakyat dan sektor ekonomi dalam menghadapi penularan COVID-19.
Katanya, kerajaan mengambil pendekatan lebih teratur dan tidak terlalu keras berpandukan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), terutama berkaitan prosedur operasi standard (SOP).
“Kerajaan kini memberi tumpu untuk terus mengurangkan kes pandemik dan pada masa sama, memulihkan ekonomi.
“Dua hari lalu, kerajaan sudah mengumumkan bahawa kita tidak membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyekat pergerakan rakyat. Tiada istilah menyekat pergerakan dari daerah ke daerah dan negeri ke negeri lain.
“Cuma, kita masih menutup sempadan negara. Ini kerana kes di negara luar masih tinggi. Kita berhati-hati untuk membuka sempadan walaupun sudah memulakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan Singapura.
“Kita juga sedang membincangkan VTL dengan Indonesia dan sepatutnya ke Thailand, tetapi kes meningkat maka kita menggantung pergerakan ke luar negara ini,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, perkara tersebut akan dipertimbangkan untuk memberi sedikit lagi kelonggaran apabila dos penggalak COVID-19 selesai diambil oleh rakyat.
Selain itu, katanya, pendekatan yang terlalu ketat akan memberi kesan kepada industri pelancongan, namun keputusan kelonggaran industri pelancongan bergantung kepada pandangan KKM.
Sementara itu, Ismail Sabri mengingatkan warga kerja JPM supaya bekerja dengan jujur dan berintegriti berikutan hampir semua dasar negara tertumpu pada jabatan berkenaan.
Katanya, kebanyakan dasar kerajaan yang diumumkan berada di bawah punca kuasa JPM termasuk berkaitan dengan ekonomi seperti Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan 2022, agama dan isu berkaitan Sabah Sarawak.
“Seluruh mata rakyat tertumpu hampir keseluruhannya kepada JPM kerana perkara berkaitan dengan negara dan rakyat terutama isu dasar, adalah di bawah JPM.
“Saya mengharapkan sokongan dan kerja keras selaku pegawai, pemimpin dan kakitangan keseluruhannya di JPM,” katanya.