25 JAN : Syarat ujian COVID-19 bagi mereka yang memasuki England akan dilonggarkan memandangkan jumlah kes jangkitan virus itu semakin berkurangan di negara tersebut.
Bagaimanapun tarikh kelonggaran itu masih belum diumumkan oleh kerajaan England setakat ini.
Menurut Perdana Menteri Boris Johnson pada minggu lalu mengumumkan kelonggaran hampir kesemua sekatan tempatan selepas kadar kes jangkitan merosot sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menjelaskan bahawa perubahan terbabit hanya akan dikuatkuasakan terhadap individu yang sudah lengkap divaksin.
“Bagi menunjukkan bahawa negara ini dibuka untuk perniagaan, dibuka kepada pelancong, anda akan melihat perubahan di mana mereka yang tiba di England tidak lagi perlu untuk menjalani ujian COVID-19 jika mereka sudah lengkap divaksin,” katanya kepada pemberita ketika melawat ke sebuah hospital tempatan.
Johnson awal bulan ini telah menarik balik peraturan terhadap mereka yang memasuki England di mana mereka tidak lagi perlu menjalani ujian COVID-19 sebelum berangkat dan menjalani kuarantin sehingga diuji negatif.
Syarat terbabit diwajibkan bulan lalu selepas Britain berdepan lonjakan pada jumlah kes jangkitan akibat penularan Omicron pada lewat November tahun lalu.
Semasa mengumumkan pelonggaran peraturan terbabit, Johnson juga menyatakan bahawa varian Omicron sudah merebak dan langkah ujian terhadap mereka yang memasuki England hanya memberikan ‘sedikit kesan’ terhadap jumlah kes jangkitan, namun, terdapat ‘kos yang ketara pada industri pelancongan’.
UK adalah antara negara di Eropah yang terjejas teruk akibat jangkitan coronavirus dengan jumlah kematian hampir 154,000 dan jumlah kes baru COVID-19 jatuh secara mendadak daripada paras rekod harian lewat bulan lalu.