26 JAN : Amerika Syarikat (AS) mengulangi pendiriannya tidak berhasrat untuk menghantar tentera AS atau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke Ukraine.
Kata Presidennya, Joe Biden, , Russia akan menerima padah menerusi tindakan daripada segi ekonomi jika bertindak menyerang bekas negara republik Soviet itu, menurut laporan Agensi Berita Xinhua.
Kenyataan Biden dibuat sehari selepas Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin mengumumkan kira-kira 8,500 tentera AS berada dalam keadaan siapsiaga untuk ditempatkan di Eropah, memandangkan ‘provokasi berterusan Russia di sepanjang sempadannya dengan Ukraine.’
Biden berkata, jika Putin ‘terus mengukuhkan’ kedudukan tentera Russia di sepanjang sempadan Ukraine atau jika ‘menggerakkan’ tentera ke Ukraine, AS akan ‘mengukuhkan’ kehadiran tenteranya.
Biden memberitahu wartawan, kesiapsiagaan itu adalah di bawah ‘operasi NATO’ dan bukan operasi AS dan ia adalah manifestasi komitmen Washington terhadap kewajipan pertahanan kolektif Artikel VI NATO.
Ditanya sama ada beliau sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin itu jika mengarahkan pencerobohan di Ukraine, Biden berkata: ‘Ya, beliau akan menerima akibatnya.’
Sebelum ini, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki berkata pencerobohan Russia ke atas Ukraine ‘pasti akan berlaku’.
“Tetapi sekali lagi, kami tidak boleh membuat ramalan mengenai keputusan Presiden Putin. Kami masih terbabit dalam perbincangan dan rundingan diplomatik,” katanya semasa sesi taklimat media di Rumah Putih.