PRN Johor: UMNO tiada halangn MUDA bertanding
26 JAN: UMNO berlapang dada dan terbuka dengan penyertaan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata semua parti berhak untuk bertanding dan UMNO sebagai parti yang terbesar di negara ini melihat ia sebagai dinamika dalam politik.
“Teruskan, tiada halangan, mereka (MUDA) telah diluluskan pendaftaran dan tiada siapa boleh menghalang bertanding). Undang-undang tidak boleh menghalang, ini demokrasi, silakan,” katanya dalam sidang media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Setiausaha UMNO Negeri Johor di Bangunan UMNO Johor, di sini semalam.
Ahli Parlimen Pontian berkata UMNO mempunyai strategi untuk menambat pengundi baharu yang terdiri daripada golongan muda telah dimulakan menerusi platfrom media sosial seperti yang dilakukan semasa PRN Melaka.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata manifesto Barisan Nasional untuk PRN itu masih dalam proses dimantapkan serta menjelaskan calon-calon yang akan bertanding akan diputuskan pucuk pimpinan parti.
Sebelum ini, MUDA dilaporkan bersedia untuk bertanding secara solo termasuk sudah menyenaraikan calon bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, bagaimanapun keputusan itu tertakluk kepada hasil perbincangan melibatkan biro politik MUDA.