27 JAN: Malaysia dalam proses perbincangan untuk menggunakan satelit bagi menyelesaikan isu telekomunikasi yang sekian lama berlarutan terutama bagi kawasan pedalaman.
Memandangkan keadaan muka bumi Malaysia yang bergunang-ganang, penggunaan satelit itu akan dapat diakses secara menyeluruh termasuk di kawasan lautan terbuka.
Malah, penggunaan satelit juga lebih menjimatkan pengguna dan Malaysia kini dalam proses perbincangan untuk menyewa satelit berkenaan dari sebuah negara Arab.
Perkara ini diakui sendiri oleh Timbilan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
“Penggunaan satelit itu dianggarkan melibatkan bajet sekitar RM2 bilion berbanding sistem 5G yang menelan belanja berkali-kali ganda, malah kemungkinan puluhan bilion ringgit.
“Walaupun Malaysia ke arah penggunaan 5G, namun ia dikatakan belum dapat menyelesaikan masalah komunikasi talian telefon secara menyeluruh memandangkan sistem 4G sedia ada pun masih tidak dapat diakses oleh penduduk pedalaman,” katanya.
Zahidi berkata, penggunaan satelit itu lebih jimat dan berkesan dan kerajaan hanya perlu menyewa satelit dengan pihak tertentu.
Menurutnya, penyewaan satelit itu bertunjangkan konsep ‘menang dan menang’ (win-win situation).
“Penggunaan satelit itu juga akan memberi penjimatan kepada pengguna selain menguntungkan pengendali syarikat telco.
“Walaupun satelit itu disewa, namun penglibatan syarikat telco akan memberi manfaat.
“Syarikat telco akan dapat memberi perkhidmatan menyeluruh dan lebih murah kepada para pengguna,” katanya.
Zahidi juga bersetuju, penggunaan satelit akan dapat menyelesaikan masalah komunikasi talian telefon termasuk para nelayan yang berada di tengah-tengah lautan mahupun di Laut China Selatan.
Selain komunikasi talian telefon, penggunaan satelit itu juga dapat menyampaikan maklumat-maklumat penting seperti cuaca, keadaan banjir dan banyak lagi.
“Memang ada perbincangan mengenai penggunaan satelit ini. Ia satelit milik sebuah negara Arab,” katanya.