27 JAN: Ketua Bahagian BERSATU Tebrau, Mazlan Bujang, hari ini mengumumkan keluar parti dan meletak jawatan ketua bahagian berkuat kuasa serta-merta.
Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi BERSATU Johor, berkata beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian BERSATU Tebrau dan keluar parti berkuat kuasa serta merta.
“Keputusan ini diambil selepas menilai dan menimbang perkara itu sejak sekian lama dengan pemikiran yang waras.
“Saya juga mengisytiharkan saya tidak menjadi ahli mana-mana parti, tetapi menyokong BN,” katanya pada sidang media khas di Kompleks Yayasan Warisan Johor, Johor Bahru, hari ini.
Turut sama meletakkan jawatan ialah Setiausaha BERSATU Bahagian dan 23 ketua cawangan, ahli jawatan kuasa serta pegawai bahagian Tebrau.
Mazlan berkata, beliau mengambil pendirian menyokong Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad, untuk memimpin semula Johor dan mewujudkan kestabilan politik demi masa depan negeri yang lebih baik untuk kebaikan rakyat Johor.
Jelasnya, keputusan itu diambil berdasarkan keperluan untuk mewujudkan semula kerajaan negeri yang stabil.
“BERSATU dan Pakatan Harapan (PH) Johor juga dilihat gagal mengemukakan calon menteri besar yang layak mentadbir Johor.
“Saya juga menyeru semua ahli dan penyokong BERSATU bermuhasabah diri serta menyokong kepimpinan Hasni dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti,” katanya.