28 JAN: Malaysia menerima sebanyak 624,000 dos vaksin Pfizer hari ini bagi pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun bermula.
Pesawat milik Raya Air itu telah mendarat pada jam 7:15 pagi di Kompleks Raya, Subang.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata, vaksin berkenaan didatangkan dari kilang Pfizer di Belgium yang diuruskan oleh syarikat farmaseutikal tersebut dan DHL.
“Hari ini sebanyak 72 kotak Sotbox Vaksin ini akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di 12 buah negeri seperti Pahang, Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor, Kelantan dan Terengganu.
“Manakala di kawasan utara seperti Kedah, Perlis, Perak akan terus dihantar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, vaksin itu akan dihantar ke 16 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara.
Katanya, ia termasuk penghantaran menerusi udara dari Subang ke Sabah dan Sarawak mengikut jadual penerbangan yang telah ditetapkan.
“Dianggarkan seramai 4 juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin ini.
“Sebagai permulaan, pemberian vaksin Pfizer (kanak-kanak) akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital-hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan, manakala pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan akan diberi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi,” katanya.
Justeru, KKM berkata, ibu bapa yang mempunyai anak-anak dalam lingkungan umur tersebut boleh membuat tempahan melalui Sistem Tempahan Janji Temu di Aplikasi MySejahtera.
Menurutnya, sehingga kini, 484,639 kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun telah mendaftar di MySejahtera.
“Melalui kaedah ini, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta masa vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka,” katanya.