28 JAN : Pihak berkuasa Singapura merampas sebanyak 400 rokok elektronik (e-rokok) dan 8,100 pod isi semula yang cuba diseludup dari Malaysia menggunakan lori membawa buah-buahan.
Menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Sabtu lalu pegawainya di Pusat Pemeriksaan Woodlands mengarahkan sebuah lori menjalani pemeriksaan lanjut selepas mereka melihat ada yang menimbulkan syak dalam imej imbasan lori itu.
Dalam pemeriksaan itu pihak berkuasa kemudian menemui e-rokok dan pod isi semula yang dibalut dengan kerajang aluminium serta disembunyikan dalam peti di belakang lori.
Pemandu lori warga Malaysia dan kelindannya kemudian diserahkan kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk siasatan lanjut.
Menurut ICA, sesiapa yang didapati bersalah membeli e-rokok dalam talian dan menghantarnya ke Singapura untuk kegunaan peribadi boleh didenda hingga SGD$10,000 (RM30, 870) dan penjara hingga enam bulan.
Pada 28 Disember lalu, pegawai Kastam Singapura turut merampas 1,056 kotak pod e-rokok dan 247 e-vaporiser dalam serbuan di sebuah unit perindustrian di Loyang.
E-rokok pod memberikan kadar nikotin lebih tinggi kepada pengguna berbanding e-rokok konvensional.