28 JAN : PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan jumlah trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan, sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina bermula hari ini sehingga 6 Februari ini.
Sehubungan itu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi menguruskan peningkatan trafik yang mendadak, sekali gus sebagai rujukan dan panduan orang ramai dalam merancang perjalanan mereka.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, PLUS menggalakkan orang ramai merancang perjalanan berpandukan kepada TTA, bagi mengelakkan kemungkinan kesesakan di lebuh raya apabila kenderaan menuju ke pelbagai destinasi, terkumpul di satu-satu lokasi lebuh raya secara serentak.
“Orang ramai yang akan bergerak meninggalkan Lembah Klang untuk ke destinasi di utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak, serta Johor di selatan disarankan supaya mula memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.
“Untuk ke destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, orang ramai dinasihatkan supaya mula memasuki lebuh raya selepas jam 1 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zakaria turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika berhenti rehat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.
“Ketika ini, pendaftaran menerusi MySejahtera masih lagi dikuatkuasakan dan orang ramai yang lengkap divaksin dibenarkan untuk makan di ruang makan di R&R. Pengguna lebuh raya diingatkan memandu berhati-hati dan lebih peka ketika hujan serta mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan pemanduan,” katanya.
Beliau berkata, pasukan PLUSRonda juga sentiasa bersedia memberikan bantuan kepada pengguna lebuh raya dan boleh dihubungi menerusi talian PLUSLine 1800-88-0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari.
“Secara keseluruhan 5,000 kakitangan akan bertugas dan bersedia, untuk memastikan segala operasi dan perkhidmatan lancar. Seramai 587 anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dari Polis Diraja Malaysia, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), St John Ambulans serta Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), dalam keadaan bersedia 24 jam sehari bermula dari 24 Januari hingga 8 Februari ini.
“Seramai 209 anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) ditempatkan di plaza tol dan kawasan rehat bagi membantu kelancaran trafik. Untuk maklumat trafik terkini sila rujuk platform media sosial PLUS melalui laman sesawang www.plus.com.my, Twitter PLUSTrafik, Applikasi PLUS atau hubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000. – BERNAMA