Pil Molnupiravir berpotensi lawan Omicron
29 JAN: Kajian enam makmal mendapati pil anti-COVID-19, Molnupiravir kekal aktif melawan varian Omicron.
Pil keluaran Merck diuji berasaskan sel yang dijalankan secara bebas oleh beberapa penyelidik di enam negara iaitu Belgium, Jerman, Republik Czech, Poland, Belanda dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut firma pembuat ubat-ubatan AS, rawatan oral yang mengambil masa lima hari daripada permulaan simptom dan ditunjukkan dalam ujian pra-Omicron dalam kalangan 1,400 peserta, mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19 sehingga 30 peratus dalam kalangan individu berisiko.
Keputusan menunjukkan bahawa pil itu mempunyai aktiviti antiviral konsisten terhadap Omicron, iaitu varian primari yang berlegar di seluruh dunia,” kata Presiden Makmal Penyelidikan Merck, Dr Dean Y Li dalam satu kenyataan.
Kata Dr Li, dapatan itu juga membekalkan keyakinan tambahan bagi potensi pil berkenaan sebagai pilihan rawatan penting untuk golongan dewasa tertentu yang menghidap gejala COVID-19 ringan sehingga sederhana, terutama bagi individu berisiko tinggi untuk menghidap penyakit teruk.
Bagaimanapun, keberkesanan pil molnupiravir terhadap varian Omicron masih belum dinilai menerusi ujian klinikal, kata Merck atau dikenali sebagai MSD di luar AS dan Kanada.
Pil rawatan itu turut dipasarkan menggunakan nama Lagevrio, mendapat kelulusan di lebih 10 negara termasuk AS, United Kingdom (UK) dan Jepun.
Washington sudah membayar AS$2.2 bilion untuk memperoleh 3.1 juta ubat itu. Setakat ini, dua juta ubat berkenaan sudah dihantar, menurut firma terbabit.
Sejumlah 10 juta ubat dihasilkan pada 2021 dan Merck merancang untuk menghasilkan tambahan 20 juta tahun ini.
Lapan kapsul molnupiravir perlu diambil secara oral untuk lima hari, menjadikan jumlahnya sebanyak 40 kapsul. – AFP