29 JAN: Nampak agak amat mudah, namun sebenarnya pelbagai rahsia tersimpan di sebalik sukan berkuda yang juga merupakan antara aktiviti digalakkan dalam agama Islam.
Sebelum mampu menunggang kuda, banyak kemahiran perlu diketahui dan dipelajari.
Ini termasuk cara-cara menunggang, mengendalikan pergerakan kuda dan banyak lagi. Juga seseorang itu perlu mengetahui kemampuan kuda yang ditunggangi.
Kuda seperti juga haiwan-haiwan lain perlu dikendalikan dengan penuh rasa tanggungjawab. Adakalanya haiwan berkenaan juga mempunyai ‘mood’ tertentu. Juga adakalanya kuda juga mempunyai perasaan takut jika haiwan berkenaan tidak menyakini kemampuan si penunggang tadi.
Untuk itu, seseorang penunggang harus memastikan bahawa dia menguasai sepenuhnya dan dapat mengawal kuda yang ditungganginya.
RTES Endurance Ride di Lembah Bidong, Setiu, Terengganu baru-baru ini yang disertai lebih 100 penunggang dari seluruh negara dengan menampilkan kategori pertandingan bagi jarak 40 kilometer dan 80 kilometer.
Selain penyertaan dari pertubuhan Islam, juga dari pasukan beruniform.
I-Riders yang diasaskan oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin yang juga seorang penceramah bertauliah turut menyertai endurance berkenaan dengan pasukan beliau menampilkan kuda yang diberi nama, Farrago, Greygo dan Barakah.
Ustaz Muhamad sendiri menunggang kuda bersama Farrago dari baka Arab.
Sepanjang endurance berkenaan, penunggang perlu mengendalikan kuda masing-masing dengan cermat kerana haiwan berkenaan juga adakalanya sensitif kepada faktor-faktor tertentu.
Ini termasuk bentuk muka bumi, cuaca, cara seseorang itu menunggang dan sebagainya.
Cara menunggang yang tidak betul juga boleh menyebabkan kuda berkenaan cepat penat, sakit tulang bahagian belakang, juga boleh mencederakannya seperti kaki terhencut dan banyak lagi.
Dalam endurance berkenaan, setiap lima kilometer, kuda-dua itu akan berhenti seketika untuk minum, diberi makan serta badannya disirami air untuk menyejukan badannya serta memastikan suhu badan dikawal.
Selain itu, penunggang juga perlu memastikan perjalanan yang dilalui tidak akan menyebabkan kuda berkenaan cedera seperti terdapat lopak.
Apa yang penting ialah penunggang harus menunjukkan serta menyakinkan bahawa kuda ditunggangi akan mengikut arahannya.
Ustaz Muhamad ketika ditemui memberitahu, endurance itu juga mengajar seseorang penunggang untuk sentiasa bersabar dan ia bukan pertandingan yang menentukan ‘siapa yang sampai dulu ke garisan penamat bahawa orang itu adalah pemenang’.
Di akhir pertandingan, pengadil akan memeriksaan setiap kuda termasuk dari segi degupan jantung, keadaan fizikal terutama kaki tidak cedera, tulang bahagian belakang tidak cedera, selain menepati masa yang ditetapkan.
Jika semua pemeriksaan itu berjaya dilepasi, seseorang penunggang yang telah menyertai endurance berkenaan diberi kelayakan untuk menyertai endurance yang lebih jauh.
Muhamad berkata, setiap penunggang juga harus tahu cara menunggang yang betul dan ini termasuk pergerakan badan yang mengikut lenggang-lenggok pergerakan kuda.
“Cara menunggang yang tidak betul boleh menyebabkan seseorang itu cepat penat dan kemungkinan badan akan menjadi sakit.
“Sukan berkuda ini nampak mudah, namun antara kebaikannya ia adalah sukan untuk senaman badan.
“Bayangkan sepanjang 40 atau 80 kilometer itu, badan kita sentiasa bergerak dan bersenam tanpa henti,” katanya.
Di samping itu, Ustaz Muhamad berkata, penyertaan I-Riders dalam endurance berkenaan antara lain bagi memperluaskan lagi sukan berkenaan dan beliau seterusnya mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak dan individu dalam I-Riders.
AMIR SARIFUDIN
(bekas Pengarang Berita Utusan Malaysia)