29 JAN: PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memutuskan akan menggunakan logo Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu dipersetujui hasil muzakarah antara kedua-dua parti berkenaan.
“Hasil resolusi muzakarah yang diadakan, kita akan menyertai PRN Johor sebagai PN.
“Kita juga akan memperkukuhkan jalinan kerjasama PAS dan BERSATU sebagai satu pasukan sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin berkata PN bakal menampilkan gabungan calon muda serta berpengalaman pada PRN berkenaan.
Beliau berkata perkara terbabit bagaimanapun akan diputuskan dalam tempoh terdekat membabitkan semua parti komponen PN termasuk agihan kerusi yang akan ditandingi.
Sementara itu, Muhyiddin menegaskan sokongan kedua-dua parti itu terhadap kerajaan adalah bersyarat.
Menurutnya, sokongan mereka ketika ini perlu dihormati dan dirunding berlandaskan nilai integriti, antirasuah serta berkebajikan.
Tambahnya, kedua-dua parti itu turut melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat.
“Kami sepakat mendukung prinsip bersama di atas nilai integriti, kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif.
“Kami juga sepakat menuju ke arah memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN), menolak budaya politik ekstrem dan menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara,” katanya.