29 JAN: Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sesak teruk pagi tadi susulan kemalangan membabitkan sembilan kenderaan di lebuh raya berkenaan.
Kejadian jam 9.30 pagi itu dikatakan berlaku selepas seorang lelaki berusia 42 tahun gagal mengawal treler jenis Volvo yang dipandunya dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata susulan itu beberapa kenderaan dirempuh lori berkenaan.
“Pemandu lori mengalami kecederaan ringan pada lengan kanan dan dahi manakala pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV), jenis Mitsubishi dan Toyota Estima, lima kereta Perodua Axia, Perodua Myvi, BMW, Toyota Vios dan Proton Saga; sebuah pikap jenis Toyota Hilux dan lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaiham berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM4,000 dan tidak melebihi RM10,000 dan boleh dipenjarakan tidak lebih 12 bulan.
“Susulan kejadian ini pihak polis meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil membantu siasatan.
“Saya juga mengambil kesempatan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati membawa kenderaan yang dipandu selain memastikan kenderaan yang dibawa sentiasa berada dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik,” katanya.