29 JAN: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini menegaskan kestabilan politik perlu diutamakan ketika ini demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri berkata kestabilan politik penting bagi membolehkan kerajaan melaksanakan semua perancangan yang telah dan sedang dibuat untuk membantu rakyat dalam situasi sukar akibat pandemik COVID-19.
“Jika ada yang menarik sokongan, betul kerajaan akan tumbang. Itu adalah fakta. Kalau Perikatan Nasional (PN) malah sesiapa juga termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau dalam kalangan UMNO sendiri menarik sokongan akan menyebabkan kerajaan tumbang kerana kita hanya ada kelebihan empat kerusi.
“Tapi saya percaya kestabilan politik yang penting. Jika timbul perkara seperti ini, politik kita kembali bergolak dan ekonomi juga akan terjejas akibat tindakan itu,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas Monsun Timur Laut 2021/2022 sebanyak RM2,500 kepada setiap 1,157 ketua isi rumah mangsa banjir Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Bera hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat pusat bagi menangani isu banjir secara komprehensif akan diadakan minggu depan.
Menurutnya, mesyuarat itu turut membabitkan beberapa kementerian dan kerajaan negeri akan menyentuh beberapa aspek, antaranya perancangan jangka panjang membabitkan pembinaan tebatan banjir atau mengurangkan kesan impak bencana itu.
Katanya, kerjasama semua pihak dan pelbagai agensi diperlukan untuk menangani masalah banjir pada masa depan, bagi mengelak kerajaan terus berbelanja besar hampir setiap tahun untuk membaiki kerosakan akibat bencana itu.
“Kita nak selesaikan secara menyeluruh dan tidak mahu isu ini berulang kerana akhirnya kerajaan yang terpaksa berbelanja setiap tahun misalnya tahun ini sahaja lebih RM6 billion, sekiranya perbelanjaan itu digunakan untuk projek tebatan banjir, mungkin kita dapat selesaikan isu ini.
“Jadi kita nak dapatkan pandangan daripada kementerian berkaitan dan kerajaan negeri kerana mereka juga terlibat, sekiranya kita mahu membina rumah mangsa banjir di kawasan lain dan sebagainya, kerana bidang kuasa tanah di bawah mereka,” katanya.