29 JAN: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila segelintir pengamal perubatan menawarkan dan menjual sijil digital vaksin COVID-19 palsu kepada orang ramai.
Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa terkejut dengan tindakan seorang doktor yang juga pemilik sebuah klinik di Gombak dan enam pembantu yang tergamak mencemarkan etika kerja perubatan profesional.
Kesemua mereka yang ditahan polis Selangor, baru-baru ini.
Titah baginda, menerusi siasatan awal, mereka turut terbabit memberikan suntikan kosong dengan membuang cecair vaksin COVID-19 yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kepada 5,601 pelanggan, yang terdiri daripada golongan antivaksin.
“Lebih mendukacitakan baginda, ada dalam kalangan pengamal perubatan terbabit berbangsa Melayu dan beragama Islam namun sanggup melakukan perkara keji dan berdosa demi memperoleh kekayaan segera.
“Baginda amat kecewa dengan perkembangan terbaharu ini yang boleh menjejaskan usaha kerajaan dan KKM untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 di Malaysia,” menurut Istana Alam Shah di Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Kenyataan itu menjelaskan Sultan Selangor sudah meminta pihak berkuasa di negeri ini supaya menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati menyalah guna kuasa sebagai pengamal perubatan.
“Jika didapati bersalah, mereka ini harus dijatuhi hukuman paling berat,” menurut kenyataan itu.
Sultan Selangor turut mempersoalkan bila kemelut pandemik COVID-19 akan berakhir jika kegiatan sebegini berleluasa, ditambah dengan kedegilan golongan antivaksin.
“Rakyat di negara ini tidak akan mampu lagi berhadapan krisis kesihatan kesan penularan wabak penyakit seperti COVID-19 yang melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan kehidupan harian.