30 JAN : Seramai 1,558 individu atas pelbagai kesalahan trafik termasuk memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menunggang motosikal secara berbahaya ditahan polis menerusi pelbagai operasi diadakan di ibu negara tahun lalu.
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah, pemandu mabuk mencatatkan kesalahan paling tinggi dengan 1,157 kes direkodkan dan disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Bagi kesalahan memandu secara berbahaya pula, seramai 287 individu ditahan dan diambil tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sementara itu, kesalahan mempamerkan nombor plet pendaftaran palsu dan disyaki mengutip bayaran letak kenderaan secara haram masing-masing mencatatkan empat dan lima kes,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi Op Motosikal dan Op Mabuk di sekitar ibu negara, malam tadi.
Katanya lagi, dalam Op Selamat tahun ini bermula 1 Januari hingga semalam, seramai 235 individu ditahan bagi pelbagai kesalahan trafik dengan tangkapan tertinggi juga membabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol iaitu seramai 192 individu, manakala memandu secara berbahaya seramai 34 individu ditahan.
Dalam pada itu, sebanyak 189 saman dikeluarkan dengan tiga pemandu mabuk ditahan dan tujuh motosikal disita operasi yang dilakukan malam tadi di tiga lokasi di sekitar Kuala Lumpur.
Beliau berkata, dalam Op Selamat kali ini, JSPT Kuala Lumpur mempertingkatkan operasi dan fokus terhadap pemandu mabuk dan penunggang motosikal bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya terutama ketika musim perayaan.