30 JAN : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan tuduhan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang mendakwa pegawainya melakukan intimidasi ketika menjalankan siasatan.
Menerusi satu kenyataan, SPRM menegaskan bahawa proses siasatan perlu dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang.
“Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menemu bual beberapa saksi yang terbabit.
“Siasatan yang dijalankan akan berteraskan prinsip ketelusan, keadilan dan profesionalisme serta berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan,” jelas SPRM dalam kenyataan itu.
Justeru, SPRM menegaskan tidak akan tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat, dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas Menteri Pendidikan itu
SPRM seterusnya berharap pihak yang terbabit memberikan kerjasama penuh dan berhenti mensensasikan proses siasatan ini.
Mazlee semalam dilaporkan berkata siasatan SPRM yang dijalankan ke atasnya serta beberapa pegawainya di Parlimen Simpang Renggam dilihat sebagai satu bentuk intimidasi.
Beliau mendakwa, pihaknya difahamkan SPRM turut menyiasat beberapa pegawai di Kementerian Pendidikan yang didakwanya sebagai usaha untuk mencari kesalahan terhadap dirinya.
Maszlee berkata demikian kepada media semalam selepas hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk dirakam keterangan oleh pihak polis.
Ia berhubung kehadirannya menyaksikan penyerahan memorandum oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di bangunan Parlimen, di sini 20 Januari lalu.