31 JAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada rakyat Malaysia yang menyambut perayaan itu.
“Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan semoga rakyat dan keluarga tersayang dilimpahi kesejahteraan, keafiatan dan keceriaan, serta semoga sambutan Tahun Baharu Cina mengukuhkan lagi perpaduan dan semangat muhibah sesama rakyat berbilang kaum, agama serta bangsa,” seperti hantaran dimuat naik di laman Facebook dan Instagram Istana Negara.
Baginda berdua menasihati rakyat dalam meraikan perayaan berkenaan untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri, berdisiplin mengamal kawalan kendiri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Masyarakat Tionghua akan meraikan Tahun Baharu Cina esok yang mewakili permulaan Tahun Baharu dalam kalendar Lunar.